1 Januari 2011....Alhamdullillah, 2010 ditinggalkan dengan seribu satu kenangan dan pengalaman yang banyak mengajar tentang erti kesabaran dan ketekunan dalam melayari kehidupan yang semakin mencabar. Kenangan paling manis adalah bergelar seorang graduan perguruan setelah beberapa tahun meninggalkan bilik kuliah dan pensyarah-pensyarah. Dan ia juga adalah tahun persediaan sebagai seorang yang bergelar guru bermula pada sesi persekolahan minggu hadapan. Ini bererti satu lagi tanggungjawap yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin selain sebagai seorang isteri dan juga ibu.
Sebagai permulaan dan pembukaan, tahun baru ini dimulakan dengan membuat blog sendiri. Emmm idea ini datang secara tiba-tiba apabila sering menjenguk blog rakan-rakan lain. Atas dorongan dari rakan-rakan sekalian, maka wujudlah blog ini. Tak sangka kan, kuat rupa nya pengaruh blog-blog nie. Bukan saja rakan-rakan yang mempunyai blog, malah anak-anak murid pun ada yang berblog selain dari FB. Begitu lah kuatnya kuasa teknologi. Sesiapa pun boleh menguasainya, tinggal lagi samaada baik atau buruknya ia bergantung kepada setiap individu yang menggunakannya. Cuma harapan kepada anak-anak murid agar mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan dan peluang yang mereka ada. "teknology change rapidly" Jauhnya jurang perbezaan antara zaman persekolahan dahulu dan persekolahan sekarang. Begitu juga dengan ibubapa pada masa sekarang juga terlihat amat berbeza terutama dari segi mendidik anak-anak.
Bercerita tentang anak-anak. Memang tidak dinafikan bergelar ibubapa pada masa ini amat mencabar. Keadaan sekeliling kadang-kadang di luar kawalan dan fikiran. Segalanya seakan-akan terlalu cepat. Pembesaran anak-anak seolah-olah 'terpaksa' diikutkan seiring dengan kemajuan dan teknologi. Ditambah pula dengan kekangan masa dari ibubapa yang berkerjaya. Atas faktor ini juga, boleh dikatakan anak-anak 'terpaksa' berdikari samaada di nursery atau taska. Seawal usia lagi mereka belajar, maka tidak hairanlah kalau ramai antaranya yang cerdik pandai dan beribu-ribu pelajar cemerlang dilahirkan setiap tahun.
Suasana persekolahan setiap tahun pasti ada penambahbaikan yang berlaku samaada secara besar-besaran atau kecil-kecilan. Perubahan ini harus dilakukan seiring dengan tahap kecekapan dan kepandaian pelajar serta peningkatan jumlah kecemerlangan dan saingan antara mereka. Ini bermakna tugas dan tanggungjawap sebagai guru juga sangat mencabar. Jika dahulu akademik sering menjadi tumpuan dan syarat utama dalam pencapaian individu, tetapi kini tidak lagi. Akademik dan Kokurikum mesti seiring dan saling melengkapi antara satu sama lain. Andaikata ia kurang atau terlebih sebahagiannya sahaja, maka ketinggalanlah mereka. Yang terbaru adalah sistem perkiraan merit bermula dari tingkatan satu dan bakal berterusan sehingga tingkatan lima. Sukar untuk diperkatakan tentang tugas yang digalas. Namun itulah hakikatnya. Semoga tahun 2011 ini diberikan peluang dan ruang daripadaNYA dalam melaksanakan sebaik mungkin amanah yang diberi.....Insyaallah...